≡ Menu

10 Tips Kewangan Untuk Mahasiswa

Sekiranya anda masih seorang pelajar universiti,

Ada 10 perkara untuk dibuat sementara masih belajar yang dapat membantu poket kalian menjadi tebal pada kemudian hari.

1. Berniaga Kecil-Kecilan

Carilah apa-apa ruang dan peluang yang ada.

Ini kerana habis-habis belajar belum tentu ada kerja yang menanti. Jadi bila sudah ada pengalaman berniaga sewaktu belajar, jika terpaksa menganggur untuk satu tempoh masa sudah tahu nak buat apa. Dari duduk rumah sahaja, lebih baik keluar berniaga.

2. Rajin-Rajin Belajar Pasal Kewangan & Pelaburan

Pergi seminar-seminar berkaitan.

Walaupun bukan orang fakulti ekonomi dan pengurusan.

Selalunya untuk mahasiswa, kadar yuran lebih murah. Malah, ada penganjur yang cari sukarelawan program. Kalau tak pergi sekarang nanti dah dapat gaji, semua orang kena tahu cara-cara uruskan duit. Jika dah tersilap langkah nanti, nak menyesal banyak pun tidak berguna.

3. Jika Tidak Ada Yang Anjurkan, Buat Sendiri

Sukarela anjurkan program tersebut di kampus masing-masing.

Jadi pengarah. Minta izin Presiden persatuan.

Dapat belajar 2 in 1. Satu belajar uruskan program. Satu soft skill yang sangat membantu nanti bila nak cari kerja. Satu lagi belajar macam perkara #2 di atas tu.

4. Belajar Cara Berkomunikasi Dengan Betul

Kalau nak penuh memang Siti Nurhaliza, buat emel yang guna nama penuh.

Jangan mengada-ngada nak hantar emel kepada bakal majikan, bakal tempat buat internship, bakal penaja program, berurusan dengan speaker guna emel-emel yang menggunakan nama pena, nama binatang, nama perjuangan dan seterusnya.

Bila hantar emel, mesej guna bahasa standard. Kalau rasa nak kena reject apa-apa permohonan, gunalah bahasa merapu tu.

5. Cari Kawan Satu Kepala

Ada geng bola.
Ada geng usrah.
Ada geng perpustakaan.

Kawan sahaja dengan semua orang. Tetapi pastikan salah satu geng yang kita kawan itu adalah mereka yang suka nak belajar pasal kewangan dan pelaburan.

6. Menyimpan Walaupun Sedikit

Buka akaun Tabung Haji / ASB siap-siap.

Dapat PTPTN, biasiswa, duit dari mak ayah. Simpanlah walaupun sedikit. Susah memang susah. Sekiranya semasa belajar lagi sudah berdisiplin menyimpan, cerah masa depan.

7. Kuasa Bahasa Kedua Dengan Baik. Ada Bahasa Ketiga Lagi Bagus.

Paling kurang boleh membaca dalam Bahasa Inggeris.

Seterusnya bahasa-bahasa lain seperti bahasa Arab, bahasa Mandarin, bahasa Perancis dan lain-lain. Ini kerana ilmu kewangan & pelaburan dalam bahasa Melayu bukan banyak mana pun. Nak harapkan orang terjemah, tertinggal kapal jawabnya.

8. Sekiranya Mampu Sekalipun Pakai Gadget Biasa-Biasa Dahulu

Delay gratification.

Kalau ujian telefon, laptop pun dah tewas. Nanti datang ujian kereta, lagi cepat tewas. Ketahuilah, pembelian kereta adalah punca ramai graduan tak cukup duit lepas dapat gaji.

9. Biasakan Memberi Dari Sekarang

Latih diri untuk berkongsi nikmat dengan orang lain dari sekarang.

Walaupun nilai di mata kasar nampak sedikit. Memberi ini tanda bersyukur. Apabila jadi orang yang bersyukur, maka rezeki pun jadi  murah.

10. Rajin Bertanya

Mahasiswa ini golongan yang disukai ramai pihak.

Perdana Menteri nak jumpa. Menteri nak jumpa. Pihak pembangkang pun nak jumpa. Malah otai-otai bisnes pun kalau ada sekumpulan mahasiswa nak jumpa pun mereka suka. Jadi, bila ada peluang sebegitu, jadikan perjumpaan itu ada komunikasi dua hala.