≡ Menu

Bagaimana Anak Muda Di Malaysia Kumpul Hutang 6 Angka Sebelum Berusia 30 Tahun ?

Ini adalah realiti yang berlaku di Malaysia.

Ramai anak muda dah mengumpul hutang sebesar 6 angka sebelum mencecah usia 30 tahun lagi. Gaji belum dapat pun sudah ada hutang. Bagaimana ?

1. Hutang Pendidikan

Ia telah pun bermula sejak hari pertama kita menjejakkan kaki ke kolej dan universiti.

Majoriti daripada kita perlu berhutang dengan PTPTN hanya untuk mendapatkan segulung diploma atau ijazah. Maka habis sahaja belajar kita telah pun menanggung hutang antara RM 30 ribu sehingga RM 50 ribu.

2. Hutang Membeli Kenderaan

Habis sahaja belajar kita pun mencari kerja. Alhamdulillah dapat kerja.

Selepas beberapa bulan bekerja, kita pun mula mencari kereta. Maklumlah, sudah mempunyai kerjaya. Mana boleh seorang pegawai pakai motor. Cari kereta pula tak main lah sekadar Proton dan Perodua. Maklumlah ...

Hutang beli kereta pertama mencecah RM 50 ribu. Jangan tak tahu, harga kereta di Malaysia memang mahal.

3. Hutang Personal Loan Untuk Berkahwin

Semasa belajar, sudah menggatal mahu berpakwe-makwe.

Maka tak boleh tunggu lama-lama, lebih-lebih lagi jika pasangan sebaya. Sedangkan kita baru sahaja mahu memulakan hidup. Sedangkan perbelanjaan untuk membuat majlis perkahwinan pada hari ini amatlah besar. Kos majlis perkahwinan hari ini dapat mencecah RM 50,000.

Campur urusan mahu berbulan madu di luar negara, akhirnya kedua-dua pasangan berhutang pembiayaan peribadi RM 100 ribu bersamaan RM 50 ribu seorang.
.

Aduh pening kepala.

Tak sampai 3 tahun bekerja sudah ada hutang sekitar RM 150 ribu. Mungkin ada yang lebih besar lagi jumlahnya.

Nanti bila isteri mahu bersalin, berhutang lagi sebab mahu bersalin di hospital swasta. Ini belum campur hutang nak beli rumah. Nanti dah beli rumah ada kos lagi, kos renovasi rumah!

Kita rasa perbuatan ini normal sebab orang lain pun buat perkara yang sama. Maka jadi lah kita dalam golongan yang normal, mempunyai hutang lebih dari sepatutnya.

Orang kurang normal, kerjanya kumpul harta seawal mungkin dalam hidup kita dan bukannya mengumpul hutang. Biarlah orang kata kita pakai kereta buruk pun. Orang yang kutuk kita tu bagi duit gaji dia untuk bayarkan duit kereta kita kah ?