≡ Menu

Bagaimana Saya Shopping Moneychanger Nak Tukar Duit Ke Luar Negara?

2-3 hari sebelum bertolak untuk buat umrah tempoh hari, saya buat tinjauan ke 3 buah premis pengurup matawang asing di sekitar KLCC. Alang-alang dah dekat dengan rumah & kos bahan api kereta pun kurang digunakan.

Saya percaya mungkin ada pengurup matawang asing yang boleh bagi tawaran lebih baik tapi saya tidak dapat menutup mata jika ianya menambah kos penggunaan bahan api kereta saya.

Tinjauan yang saya buat ialah untuk menukar matawang RM kepada Saudi Riyal. 2 buah premis menawarkan tukaran We Sell 100 unit bersamaan 1.22 & 1.20. Manakala premis yang terakhir menawarkan 100 unit bersamaan 1.17. Lalu saya pilih kedai yang terakhir kerana ingin mendapat amaun yang lebih dalam bentuk Saudi Riyal.

Pada ketika penukaran tersebut, saya juga dapati ketiga-tiga premis menawarkan tukaran We Buy 100 unit bersamaan 1.12. Sambil-sambil menunggu wang ditukar, saya berkira-kira 'spread' (beza antara We Sell dengan We Buy). Lebih kecil 'spread' lebih bagus la bagi pihak saya. Bab margin keuntungan pihak pengurup wang, biarlah dia yang risaukan.

Setelah pulang dari umrah, hari ini saya pergi semula membuat tinjauan kadar We Buy yang ditawarkan oleh ketiga-tiga premis tersebut. 2 buah premis masih lagi menawarkan kadar tukaran We Buy 100 unit bersamaan 1.12. Jadi saya tahu kadar 'spread' sekitar 0.05. Saya meneruskan usaha membuat tinjauan ke premis yang ketiga. Dalam hati sekadar berharap dapat tukaran We Buy 100 unit bersamaan 1.13 pun sudah memadai.

Tetapi di premis ketiga ini saya tidak dapat melihat paparan We Buy yang ditawarkan. Lalu saya bertanya kepada pengurup wang, dan dia dengan cepat menjawab We Buy 100 unit bersamaan 1.15. Ini bermakna 'spread' saya akan menjadi lebih kecil sekitar 0.02 sahaja.

Kemudian, si pengurup bertanya samada jumlah duit Saudi Riyal yang saya pegang dalam kuantiti yang banyak atau tidak. Sudah pasti kuantitinya sedikit. Duit baki sara hidup semasa di sana, faham-faham sajalah jumlahnya.

Selepas saya memberitahu kuantiti yang saya pegang adalah sedikit, saya perasan si pengurup baru sedar yang dia mungkin telah quote tukaran yang agak tinggi mungkin untuk orang yang mempunyai kuantiti yang banyak. Ini hanya sekadar telahan saya sahaja. Tapi, terlajak perahu boleh diundur. Dia terpaksa jugalah mengotakan tawarannya.

Rezeki saya mendapat 'spread' yang rendah walaupun untuk kuantiti yang sedikit untuk dibuat tukaran balik kepada matawang RM ?

Nota:

Untuk dapat lebihan nilai dalam SR, kita perlu cari kadar tukaran We Sell paling rendah.

  • RM1000 / 1.22 = SR819.67
  • RM1000 / 1.20 = SR833.33
  • RM1000 / 1.17 = SR854.70

Untuk dapat lebihan nilai dalam RM, kita perlu cari kadar tukaran We Buy paling tinggi.

  • SR1000 x 1.12 = RM1120
  • SR1000 x 1.15 = RM1150

.
Nota ini disediakan oleh Tuan Zulkhairi Zulkifli menerusi status Facebook beliau. Sila layari PoketTebal.com untuk nota-nota kewangan yang lain.