≡ Menu

Cara Kira Untung ASB 2017

Ini adalah seperti yang disediakan oleh Amanah Saham Nasional Berhad melalui laman Facebook mereka.

Selamat membaca:

Semalam ASB mengumumkan pulangan yang terdiri daripada 3 komponen iaitu agihan pendapatan. bonus dan bonus khas sempena sambutan Ulang Tahun ke-40 PNB.

Komponen pertama yang perlu dinilai ialah agihan pendapatan 7 sen yang diberikan ASB, berbanding 6.75 sen tahun lalu. Ini bermakna jika pelabur mempunyai pelaburan RM20,000 (dengan andaian jumlah ini merupakan purata baki minimum bulanan sepanjang tempoh 12 bulan), mereka akan menerima agihan pendapatan sebanyak RM1,400. Tahun lalu, pelabur ini menerima RM1,350.

Pelabur dengan pelaburan RM5,000 pula akan menerima pulangan sebanyak RM350.

Agihan pendapatan 7 sen ini sememangnya lebih baik berbanding akaun simpanan atau akaun simpanan tetap yang ada dipasaran atau 3-bulan KLIBOR yang merupakan penanda aras bagi ASB.

Lihat pula kepada Bonus Khas ASB sebanyak 1.00 sen yang terhad kepada 10,000 unit pertama, yang mana semua pelabur yang mempunyai pelaburan RM10,000 dan ke atas akan menerima sebanyak RM100.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pulangan yang diterima pelabur tadi (yang mempunyai RM20,000 dalam ASB) setakat ini ialah RM1,500, meningkat 11 peratus berbanding tahun lalu.

Jumlah RM100 ini mungkin kecil bagi sesetengah orang, tetapi ia memberi impak besar kepada pelabur kurang RM10,000 kerana bonus khas ini memberi mereka pulangan lebih tinggi, berbanding sebelum ini.

Sebagai contoh pelabur dengan pelaburan RM5,000 (dengan andaian jumlah ini merupakan purata baki minimum bulanan sepanjang tempoh 12 bulan), akan menerima pulangan tambahan RM50, menjadikan jumlah pulangan yang diterima ialah RM400, berbanding kira-kira RM337 yang diterima tahun lalu.

Lihat pula kepada komponen bonus ASB sebanyak 0.25 sen. Pengiraan bonus adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan sepanjang tempoh 12 bulan bagi tahun 2017, berbanding sebelum ini yang mana pengiraan bonus adalah berdasarkan purata baki minimum sepanjang 120 bulan atau 10 tahun terbelakang. Ini membolehkan semua pelabur menikmati bonus ini termasuk pelabur yang baru melabur setahun dalam ASB.

Jadi kiraan mudah agihan pendapatan tahun ini ialah 7.25 sen seunit dan bonus khas sebanyak 1 sen seunit yang terhad kepada RM10,000 pertama daripada jumlah keseluruhan pelaburan. Semua pelabur dengan pelaburan RM10,000 dan ke bawah akan menerima pulangan sebanyak 8.25 sen.

Jika pelabur mempunyai pelaburan RM20,000 dalam ASB tahun ini (dengan andaian RM20,000 ialah purata baki minimum bulanan sepanjang tempoh 12 bulan), mereka akan menerima pulangan penuh sebanyak RM1,550, berbanding kira-kira RM1,350 tahun lalu (perbezaan dalam pengiraan bonus memberi perbezaan kepada jumlah bonus diterima pelabur).

Jika mereka mempunyai RM5,000 (dengan andaian RM5,000 ialah purata baki minimum bulanan sepanjang tempoh 12 bulan), mereka akan menerima pulangan RM413, berbanding kira-kira RM337 sebelum ini.

Jika pelabur mempunyai pelaburan RM100,000 (dengan andaian RM100,000 ialah purata baki minimum bulanan sepanjang tempoh 12 bulan), mereka akan menerima pulangan sebanyak RM7,350.

Nota : 

+ Semua pengiraan adalah berdasarkan andaian bahawa pelabur mengekalkan jumlah pelaburan yang sama sepanjang tahun.

+ Jumlah agihan pendapatan dan bonus sebenar adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan pelabur dalam ASB sepanjang tempoh 12 bulan (Januari-Disember).