≡ Menu

Caruman KWSP Adalah Harta Pusaka, Penama Adalah Pentadbir

Berikut adalah keterangan yang diberikan oleh Ustaz Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Post Facebook ini ditulis 5 Mac 2014.

Soalan:

Apakah hukum menjadikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai harta sepencarian?

Jawapan:

Harta sepencarian ditafsirkan dalam undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri kecuali di Kelantan dalam undang-undang Pentadbiran Mahkamah Syariah.

Umumnya terdapat sedikit perbezaan tafsiran meskipun tidak terdapat perbezaan dari segi amalan pembahagian. Di Johor, Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Wilayah Persekutuan harta sepencarian ditafsirkan sebagai: “Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang telah ditentukan oleh hukum syarak.”

Secara umumnya, harta sepencarian bolehlah diertikan sebagai suatu harta sama ada harta alih atau tidak alih yang diperolehi bersama oleh suami dan isteri hasil daripada usaha dan sumbangan bersama dalam tempoh perkahwinan mereka dan termasuklah juga nilai harta yang diperolehi sebelum mereka berkahwin yang telah dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa perkahwinan melalui usaha bersama.

Fatwa Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-4 pada 13-14 April 1982 di Dewan Syarahan Masjid Negara menyatakan:

Berdasarkan kepada kedudukan harta sepencarian di Malaysia pada hari ini belum ada lagi peraturan yang seragam mengenai undang-undang harta sepencarian, maka jawatankuasa membuat keputusan:

i. Segala apa yang diberi atau dihibahkan oleh suami kepada isteri atau sebaliknya dengan bukti secara syarak atau dengan pengakuan dari pihak memberi adalah menjadi hak kepada yang menerima.

ii. Mengenai rumah tempat tinggal dan perabot-perabot pada dasarnya adalah menjadi hak suami kecuali bila ada kenyataan menunjukkan bahawa suami menghibahkan kepada isterinya atau isteri yang punya.

iii. Maskahwin, pakaian dan nafkah-nafkah pada dasarnya adalah menjadi hak isteri.
.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-49 pada 19 September 2000:

i. Wang KWSP dan yang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid.

ii. Penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan kepada si mati) mengikut hukum faraid.

iii. Bahagian Undang-undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang yang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah memutuskan bahawa: “Harta sepencarian sebagai sebahagian daripada harta syarikat al-Abdan sebagaimana dalam mazhab Hanafi dan hendaklah dibahagikan berdasarkan kepada upah kerja yang munasabah menurut kelaziman sesuatu kerja atau usaha.”
.

KWSP pula dalam laman web khusus berkaitan Simpanan Shariah pula menyatakan jawapan ini dalam ruangan FAQ mereka.

  • Adakah terdapat sebarang perubahan terhadap polisi penamaan bagi Simpanan Shariah?

    Penamaan bagi ahli Simpanan Shariah adalah sama seperti polisi penamaan yang sedia ada termasuklah penama bagi ahli beragama Islam, hanyalah bertindak sebagai wasi/pentadbir yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pembahagian simpanan KWSP ahli mengikut Syariah manakala penama bagi ahli bukan beragama Islam adalah pemilik mutlak/benefisiari, selaras dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS).