≡ Menu

Dah Bersedia Jadi Pelabur ? 5 Senarai Semak Ini Dapat Membantu

Nak melabur mesti ada ilmu.

Pelaburan ini macam medan perang. Kita tak mati, tetapi duit boleh habis kalau tak kena gayanya.

Pelaburan juga merupakan satu marathon. Banyak persediaan yang perlu dibuat sebelum menyertai sesuatu larian jarak jauh. Lebih-lebih lagi persediaan emosi.

Berikut adalah 5 senarai semak untuk anak muda yang mahu memulakan pelaburan sendiri. Mudah-mudahan senarai semak ini dapat membantu kalian menguruskan emosi ketika melabur.

1. Cashflow Dah Positif

Sebelum melabur pastikan cashflow sudah tidak lagi lintang pukang.

Pendapatan sudah melebihi perbelanjaan.

Salah satu cara nak pastikan cashflow tidak lagi lintang pukang ialah kita semua kena uruskan hutang dengan baik. Urus hutang ini bukan bermaksud kena habiskan bayar hutang. Tidak. Bukan begitu. Maksudnya kena pastikan hutang-hutang ini terkawal. Tidak ada yang hutang-hutang yang terlalu membebankan setiap bulan seperti hutang kad kredit misalnya.

Tuan nak tanam pokok buah. Maka pokok lalang kena tebas dulu. Sila haribulan orang kata tuan berkebun lalang. Jadi mula-mula hapuskan lalang-lalang yang jahat itu i.e. hutang-hutang jahat.

2. Modal Dari Tabung Pelaburan

Masa terbaik untuk membuat pelaburan adalah ketika ada duit lebih.

Duit lebih ini sepatutnya datang dari tabung pelaburan.

Duit ini datang dari simpanan yang kita buat setiap bulan secara automatik. Lama-lama jumlahnya membesar dan semakin banyak. Apabila simpanan sudah cukup untuk untuk menampung perbelanjaan untuk sekurang-kurangnya 7 bulan, maka sudah masanya untuk melabur.

Jangan memulakan pelaburan dengan hutang. Bukan pinjam kawan. Bukan pinjam duit mak ayah.

3. Bersedia Untuk Rugi

Melabur memang untuk gandakan duit.

Tambah harta. Siapa nak melabur untuk rugi ?

Tapi untuk orang yang baru sahaja bermula, awal-awal ini bukan nak buat duit dahulu. Tapi untuk belajar selok-belok pelaburan. Sepak terajang dunia pelaburan. Supaya tahu apa itu duit pelaburan sebenar.

Kalau untung, OK. Tak dapat untung pun OK. Yang penting dah lalui, dan rasa sendiri dunia pelaburan itu bagaimana.

4. Tahu Kos-Kos Terlibat

Tidak ada benda percuma dalam dunia ini.

Maka kena belajar kira-kira, apakah kos-kos yang terlibat apabila mahu membeli sesuatu produk pelaburan.

Ada kos yang tinggi, ada yang murah. Kos sesuatu pelaburan ini berlaku setiap kali transaksi berlaku. Sekiranya ada seseorang yang beriya-iya meminta kita membeli sesuatu pelaburan dari dia, maka silalah bertanya, "Kalau saya beli ______ dari tuan, apa yang tuan dapat ?"

Silap haribulan, kalau tidak kira betul-betul kos ini, maka tuan nampak macam untung tapi hakikatnya tak untung pun.

5. Jurnal Pelaburan

Bersedia dengan buku, spreadsheet atau apa-apa mekanisme khas pasal pelaburan.

  • Kenapa beli ?
  • Kenapa jual ?
  • Berapa lama nak 'hold' ?
  • Sekiranya jadi perkara luar jangkaan nak buat macam mana ?

Jurnal pelaburan ini sebagai satu ikatan yang dapat mengelakkan tuan dari menjadi emosional. Jurnal ini dapat membolehkan kita terus tetap dalam pelan pelaburan yang asal.

Biasalah. Orang baru melabur memang tak rasa lagi perit rugi duit, dan betapa susahnya nak ambik untung. Nampak memang macam senang. Nampak je lah. He he he.