≡ Menu

Datuk Nenek Kita Dulu Bela Lembu, Bersawah. Kita Pula Ada Apa ?

Kita tidak dapat bergantung kepada satu pendapatan sahaja.

Mesti ada sumber pendapatan kedua.

Majoriti dari kita ada pendapatan tetap setiap bulan yang diperoleh secara aktif. Dalam konteks individu yang bekerja dengan orang, makan gaji. Individu yang berniaga sendiri pun pada hakikatnya masih makan gaji dengan diri sendiri. Sebab kalau individu-individu ini tidak bekerja maka tiadalah pendapatan yang diterima setiap bulan.

Persoalannya sampai bila kita mahu bekerja ? Atau, sampai bila kita masih mampu bekerja ? Sekiranya tuan seronok dengan kerjaya hari ini sekalipun, lambat laun tubuh kita tidak dapat membenarkan kita bekerja seperti zaman muda-muda.

Maka satu soalan yang wajib dijawab.

Jika tuan terpaksa berhenti kerja pada esok hari, berapa lama simpanan tuan dapat bertahan untuk menyara kehidupan ?

  • 1 bulan ?
  • 3 bulan ?
  • 6 bulan ?
  • 12 bulan ?
  • 24 bulan ?

Sebab itu kita perlu bekerja membina sumber pendapatan yang kedua dari sekarang. Iaitu sumber pendapatan yang bersifat pasif di mana duit yang bekerja untuk kita.

Perkara ini sebenarnya barangkali sudah dibuat oleh moyang, datuk dan nenek kita. Ada duit tunai mereka tukarkan kepada:

  • Binatang ternak; bela lembu bela kambing.
  • Tanah; supaya dapat bercucuk tanam.

Sebab itu mereka walaupun kelihatan susah pada zahirnya tetapi jika anak mereka dapat menyambung pelajaran ke universiti mereka sudah pun mempunyai harta untuk menampung kos pembelajaran anak-anak.

Tetapi pada zaman sekarang memang mustahil untuk kita membela lembu dan kambing kerana kita duduk di taman-taman perumahan. Pekerjaan profesional kita atau jawatan kita hari ini tidak memungkinkan kita untuk mengusahakan sawah bendang sendiri. Namun konsepnya tetap sama cuma jenis harta sahaja yang berubah.

Hari ini kita ada harta baru yang. Antaranya kita dapat tukarkan duit dalam bentuk harta seperti:

  • Saham
  • Unit Trust
  • Hartanah
  • Real Estate Investment Trust (REIT)
  • Exchange Traded Fund (ETF)

Sebagai pilihan untuk menukarkan sebahagian dari duit gaji kita ke bentuk harta. Harta selain wang tunai. Duit tunai kita perlu ditukar dalam bentuk harta supaya tidak terkena 2 kesan berikut:

1) Duit Tunai Habis Dimakan Zakat

Nabi Muhammad (berselawatlah kita) ada menyebut,

Perniagakanlah harta anak-anak yatim, agar tidak habis dimakan oleh zakat.

Dalam hadis lain, disebutkan “kembangkanlah”. Hadis ini direkodkan oleh Imam Syafie, Imam Thabrani dan juga Imam Tirmizi.

Apakah yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah adalah seperti berikut:

Seandainya seseorang itu mempunyai simpanan RM 100 ribu. Maka simpanan itu wajib dikenakan zakat. Taksiran tahunan zakat wang simpanan ialah 2.5% ke atas RM 100 ribu. Selepas 1 tahun, individu tadi membayar zakat sebanyak RM 2,500 dan baki duit simpanan berkurangan menjadi RM 97,500.

Tahun seterusnya, oleh kerana jumlah wang simpanan sudah berkurangan maka  jumlah zakat yang dikeluarkan pun semakin berkurang; taksirannya ialah 2.5% atas RM 97,500. Sekiranya situasi ini berterusan selama 10 tahun tanpa diniaga / dilabur maka pada tahun ke 11, duit simpanan tadi cuma tinggal dalam RM 77 ribu sahaja.

Namun sekiranya duit simpanan tadi diniaga / dilabur maka situasinya berubah. Melalui pelaburan yang dibuat, simpanan telah berkembang menjadi RM 110 ribu. Maka, taksiran zakat kini menjadi 2.5% atas RM 110 ribu. Sekiranya berterusan, jumlah zakat bertambah banyak seiring dengan modal yang telah berkembang itu tadi.

Sekiranya harta anak yatim pun dianjurkan supaya ianya dikembangkan, harta milik sendiri lebihlah lagi.

2) Duit Tunai Habis Dimakan Inflasi

Inflasi menghabiskan kuasa membeli kita.

Berapakah harga roti canai 10 tahun lepas ? Berapakah harga roti canai hari ini ? Itulah inflasi secara mudah.

Inflasi ini berbahaya kerana harga roti canai tidak naik mendadak. Semalam bayar RM 0.70 hari ini kena bayar RM 1.50. Inflasi tidak berlaku begitu. Inflasi ini berlaku tanpa kita sedar dan apabila kita merasainya maka itu tandanya kita sudah terlambat bertindak.

Mahukah tuan tahu kesan inflasi terhadap simpanan RM 100 ribu dengan inflasi 3% setahun yang disimpan dalam peti besi ?

Walaupun nampak RM 100 ribu jumlahnya sama, tetapi sebenarnya nilai kuasa membeli turun menjadi RM 97 ribu selepas setahun dan terus turun menjadi RM 74 ribu selepas 10 tahun.
.

Maka inilah fungsi pendapatan kedua kita.

Pendapatan pertama (pendapatan aktif) untuk meneruskan kelangsungan hidup seharian. Pendapatan kedua (pendapatan pasif) untuk mengekalkan kekayaan kita.

Pendapatan pasif tidak bermaksud tidak perlu bekerja. Individu yang mahu membina pendapatan pasif tetap perlu bekerja, tetapi bekerja seperti seorang pelabur pekerja. Cara kerjanya berbeza dengan bekerja untuk mendapatkan pendapat aktif.

Contohnya Datuk Lee Chong Wei. Barangkali kita lebih nampak beliau 'bekerja' ketika bermain badminton di kejohanan badminton atau Olimpik. Tetapi sebenarnya jika tidak masuk apa-apa kejohanan pun dia sedang bekerja iaitu ketika dalam sesi latihan. Apakah tuan tahu bagaimana teruknya sesi latihan seorang atlit bertaraf dunia ?

Datuk Lee Chong Wei bekerja dengan cara seorang atlit.

Seorang pelabur bekerja dengan cara seorang pelabur.

Seorang pelabur kena sentiasa buat kajian, membuat pengiraan dan berfikir secara bebas. Seterusnya memantau perkembangan harta-harta itu sama ada menguntungkan atau pun tidak. Perlu sentiasa kemas kini ilmu pengetahuan berkaitan.

Bagi membina sumber pendapatan kedua iaitu pendapatan pasif, kita  mesti bekerja keras pada peringkat awal. Membina harta. Sedikit demi sedikit. Kembangkan dari tahun ke tahun iaitu seperti :

  • Membangunkan bisnes secara kecil-kecilan, sehingga kita dapat melantik CEO yang menjalankan bisnes untuk kita atau membina sistem jualan yang 100% automated.
  • Membuat pelaburan hartanah kecil-kecilan, sehingga pendapatan sewa sebulan, lebih dari gaji
  • Membuat pelaburan saham kecil-kecilan, sehingga pendapatan dividen lebih dari cukup nak makan setahun.

Hanya kaki penipu yang menjanjikan harapan palsu dengan menyatakan seseorang pelabur tidak perlu buat kerja, hanya masukkan duit dalam akaun dan goyang kaki tunggu duit masuk dalam akaun bank setiap bulan.