≡ Menu

Simbol Kemewahan Bukan Harta Sebenar

Biarlah kita nampak miskin di mata orang lain.

Dari berpura-pura jadi kaya dengan mempamerkan simbol-simbol kemewahan. Simbol-simbol kemewahan antaranya ialah:

  • Rumah yang kita duduk
  • Kereta baru
  • Telefon pintar
  • Laptop / notebook
  • Pakaian berjenama

Dalam Islam, simbol-simbol kemewahan ini tidak wajib zakat.

Apabila tidak kena zakat itu bermaksud ianya tidak jatuh dalam kategori harta yang sebenar. Malah, realitinya bila kita mengumpul simbol-simbol kemewahan dan pada hakikatnya kita tidak mampu, akhirnya kita hanya mengumpul hutang keliling pinggang.

Orang bijak pandai berkata, “Nak tahu dompet seseorang itu yang sebenar, sila tengok dalam rumahnya, ada TV besar atau perpustakaan mini ?”

Isunya bukan kena jadi kedekut. Berbelanjalah. Makan dan minumlah. Tetapi jangan berbelanja di luar dari kemampuan sehingga beli TV pun tak mampu beli secara tunai. Silap hari bulan jatuh membazir.

Kita pun perlu berbelanja. Khususnya dalam perkara-perkara wajib dan sunat. Seperti seorang suami berbelanja untuk keperluan isteri dan anak-anak. Isteri berbelanja untuk nampak cantik di hadapan suami. Apabila sampai musim hari raya, adalah sunat berpakaian-pakaian yang terbaik. Memberi hadiah kepada pasangan kita.

Berbelanja perkara sebegitu dapat pahala. Namun berbelanja sehingga membazir mengundang dosa. Seperti berbelanja sampai akhirnya berhutang keliling pinggang.

Pada hakikatnya, orang yang kaya ialah orang yang diwajibkan ke atas mereka zakat harta. Lebih banyak jumlah zakat yang dibayar, maka lebih banyak harta yang dia ada. Maka pelajarilah tentang zakat supaya kita dapat tahu dengan lebih banyak apakah yang dikatakan sebagai harta yang sebenar.

Malangnya harta sebenar ini selalunya tidak dapat kita pamerkan di media-media sosial. Siapa mahu like gambar kambing-kambing yang kita bela dibandingkan dengan gambar tiket pergi melancong ke luar negara tiap-tiap tahun.

Biarlah nampak papa, tapi ada harta!