1 : Apakah yang dimaksudkan dengan zakat fitrah yang khususnya dibayar dalam bulan Ramadhan ?
Zakat fitrah mempunyai pelbagai nama dan istilah lain yang menggambarkan maksud dan pengertiannya yang tersendiri. Antara nama-nama lain bagi zakat fitrah yang diistilahkan oleh para fuqaha adalah zakat badan, zakat al-ra’s (zakat kepala), zakat al-khilqah (zakat kejadian) dan zakat al-raqabah .
Dinisbahkan zakat ini kepada fitrah atau kejadian manusia kerana ia tidak berkaitan sangat dengan kewajipan harta walaupun dibayar dengan harta tetapi zakat ini lebih berkaitan dengan zat atau fizikal manusia. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah dalam surah al-Rum ayat 30 :
“Itulah fitrah Allah yang telah diciptakan manusia menurut fitrah itu.”
2 : Apakah hikmah kewajipan zakat fitrah ini?
Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith Nabi s.a.w. Daripada Ibnu Abbas r.a :
“Difardhukan zakat fitrah oleh Rasulullah s.a.w sebagai penyucian kepada mereka yang berpuasa dari sebarang kecuaian, kelalaian dan rafath (perkataan bersifat kelucahan) serta menjadi makanan bagi orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat Hari Raya maka ia dianggap zakat yang diterima. Sebaliknya, jika ditunaikan selepas solat Hari Raya, maka ia hanyalah sekadar salah satu dari sedekah yang biasa.”
[Lihat Sunan Abi Daud, Kitab al-Zakah 1371, Sunan Ibn Majah, kitab al-Zakah 1817]
Kesimpulannya hikmah zakat fitrah ini boleh dibahagikan kepada tiga tujuan utama:
Pertama : Menjadi agen penyucian kepada mereka yang berpuasa. Kadangkala orang yang berpuasa juga tidak terlepas dari kata-kata keji, lagha, nista dan juga perkataan-perkataan yang bersifat kelucahan dan buruk. Justeru, zakat fitrah ini mampu menampung kecacatan dalam ibadah puasa yang dilakukan.
Kata Waki’ bin Al-Jarrah : Zakat Fitrah ini umpama sujud sahwi bagi ibadah solat, yang mengangkat kekurangan puasa, sebagaimana sujud sahwi mwngangkat kekurangan dalam solat.”
Kedua : Menjadi makanan dan kegembiraan bagi si fakir dan miskin. Kerana hari raya merupakan hari gembira, suka ria dan ceria. Justeru, dengan penunaian zakat fitrah ini golongan fakir miskin akan merasa diraikan dalam kelompok masyarakat dan turut sama berkongsi kegembiraan menyambut lebaran tanpa rasa disisihkan mahupun diketepikan.
Ketiga : Membiasakan diri individu dalam member sumbangan kepada masyarakat dengan menghayati konsep perkongsian dan kerjasama dalam memberi. Kerana itulah zakat fitrah ini tidak terkait dengan kekayaan seseorang mahupun kecukupan nisab, tetapi lebih terkait kepada soal individu dan kemampuan menyumbang walaupun tidak kaya.
3: Bilakah zakat fitrah ini diwajibkan, kepada siapa dan apakah pula kadarnya ?
Zakat fitrah diwajibkan pada tahun kedua Hijrah dalam bulan Sya’aban. Ibnu Munzir dan al-Baihaqi menaqalkan Ijma’ para fuqaha pada menyatakan kewajipan zakat fitrah ini.
Allah s.w.t berfirman dalam surah al-A’ala ayat 14 dan 15:
“Sangat beruntung orang yang menyucikan diri dengan (beriman) seraya mengingati Tuhannya lalu dia melaksanakan solat.”
Ibnu Umar r.a menafsirkan ayat ini kepada kewajipan menunaikan zakat fitrah.
Begitu juga hadith dari Ibnu Umar r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w mewajibkan zakat fitrah dari segantang kurma atau gandum . Diwajibkan atas setiap golongan hamba mahupun merdeka, lelaki mahupun perempuan, kecil atau besar dari kalangan orang Islam. [Bukhari 1053, Muslim 984]
Justeru, berdasarkan hadith di atas kewajipan zakat ini tertakluk kepada setiap individu dengan syarat mempunyai upaya untuk menunaikannya. Tidak disyaratkan memiliki nisab, namun cukup sekiranya individu tersebut memiliki lebihan perbelanjaan setelah diperuntukkan untuk keperluan berhari raya seisi keluarga pada malam hari raya dan keesokan harinya pada hari raya tersebut.
Kadar zakat fitrah adalah disandarkan kepada nilaian segantang dari makanan ruji tempatan. Sebagai contoh di Malaysia, nilaian segantang beras bersamaan 2.7kg adalah menjadi ukuran untuk dibuat nilaian umum bagi menentukan harga zakat fitrah yang wajib dibayar.
Jika ada yang bermurah hati untuk membayar lebih dari harga yang ditetapkan atas sebab mengikut mahal harga beras yang dimakan seisi keluarga tidak menjadi masalah. Sila rujuk kepada pihak jabatan agama atau pusat zakat dan baitulmal di negeri masing-masing untuk makluman lanjut.
4 : Siapakah yang bertanggungjawab membayar zakat fitrah?
Menurut pandangan para fuqaha’ yang berkewajipan menunaikan zakat fitrah ini ialah setiap individu lelaki, perempuan, hamba atau merdeka, tua atau muda kecil mahupun besar.
Namun begitu wajib juga diatas setiap ketua keluarga bagi menunaikan zakat fitrah bagi pihak dirinya, ahli nafkah yang terdiri dari isteri, anak-anak dan sesiapa sahaja yang dibawah tanggungannya termasuk ibu bapanya yang miskin.
Adapun khadam (pembantu rumah) yang berada di bawah seliaan majikan, berkata Imam Al-Khatib Al-Syarbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menjelaskan ketua atau pemilik kepada amah atau pembantu rumah itu lebih afdhal membayar zakat fitrah baginya walaupun amah tersebut wajib membayarnya sendiri.
Jika seorang anak perempuan yang masih berada secara hukumnya dibawah tanggungan ibu bapa namun mempunyai kerjaya yang baik dan ingin membayar bagi pihak dirinya sendiri dan kedua ibu bapanya perlu memohon keizinan dari pihak bapanya terlebih dahulu sebelum membuat bayaran zakat fitrah.
5 : Bilakah masuk waktu zakat fitrah boleh dibayar dan apakah hukum zakat fitrah bagi bayi yang baru lahir pada pagi hari raya atau sesiapa yang meninggal dunia pada malam hari raya Eid al-Fitr?
Daripada Ibnu Abbas, Baginda S.A.W bersabda,
“Difardukan zakat fitrah untuk membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan bersifat dusta, ia juga sebagai makanan dan kelazatan kepada fakir miskin. Bagi sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri maka zakatnya diterima dan barang siapa yang menunaikannya selepas daripada itu, ia hanyalah sedekah”.
(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Kesimpulannya waktu membayar zakat fitrah adalah seperti berikut :
- WAKTU WAJIB - Selepas Maghrib hari terakhir Ramadhan hingga sebelum Solat Sunat Aidilfitri
- WAKTU SUNAT / AFDHAL - Pagi Aidilfitri sebelum Solat Sunat Aidilfitri.
- WAKTU HARUS - 1 atau 2 hari sebelum Aidilfitri. Ada juga pandangan yang mengatakan boleh bayar bermula dari hari pertama Ramadhan.
Jika sekiranya seseorang itu terlupa atau terlepas dari membayar zakat fitrah kerana halangan tertentu, maka dia wajib qadha zakat tersebut seberapa segera yang mungkin walaupun sudah terlepas waktu wajib membayar zakat fitrah.
Adapun berkaitan persoalan kelahiran mahupun kematian yang berlaku pada akhir Ramadhan atau pagi Syawal. Dalam hal ini, ulama berpendapat, jika seseorang itu hidup pada Ramadan tetapi mati sebelum sampai waktu wajib menunaikan fitrah iaitu dari terbenam matahari hinggalah solat sunat aidilfitri, mereka ini tidak wajib membayar fitrah.
Bagi mereka yang hidup pada Ramadan dan sempat sampai ke waktu wajib walaupun berada di dalamnya sekejap contohnya beberapa minit pada waktu Maghrib malam 1 Syawal, golongan ini wajib menunaikan fitrah.
Bagi setiap anak yang dilahirkan pada akhir Ramadan iaitu sebelum waktu Maghrib terakhir Ramadan, golongan ini juga wajib dikeluarkan zakat fitrahnya. Tetapi jika anak tersebut lahir selepas Maghrib hari terakhir Ramadan maka tidak wajib fitrah baginya.
6. Apakah zakat fitrah mesti dibayar ditempat seseorang itu mencari rezeki atau boleh dibayar dimana-mana sahaja?
Antara ulama Mazhab Syafie yang menyentuh tentang 'di mana zakat fitrah perlu dibayar', ialah Imam Asy-Syirazi dan Imam Nawawi r.a. Masing-masing dalam kitab al-Muhazzab dan kitab al-Majmuk.
Dalam al-Majmuk, Imam Nawawi r.a menyatakan :
إذا كان في وقت وجوب زكاة الفطر...في بلد ومالُه في آخر فأيّهما يُعتبر؟ فيه وجهان : (أحدهما) بلد المال كزكاة المال (وأصحهما) بلد ربِّ المال. ممّنْ صحّحه المصنّف في التنبيه والجرجاني في التحرير والغزالي والبغوى والرافعي وآخرون.
Terjemahan : Jika seseorang itu-sewaktu zakat fitrah wajib [ke atasnya]-[berada] di [sebuah] negeri, manakala hartanya [berada] di [negeri] lain, maka [negeri] mana satukah yang diambil kira [ketika membayar zakat fitrah]?
Terdapat dua pandangan; salah satunya : [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] harta [itu berada] sama seperti zakat harta [yang perlu dikeluarkan di tempat di mana harta itu berada].
[Pendapat] yang paling sahih [daripada kedua-dua pandangan ini] ialah [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] empunya harta [berada].
Antara mereka yang mentashihkannya (pendapat yang paling sahih), ialah pengarang (Imam Asy-Syirazi) dalam [kitabnya] at-Tanbih, al-Jurjani dalam [kitabnya] at-Tahrir, al-Ghazali, al-Baghawi, al-Rafi'e dan lain-lain.
Kenyataan Imam Nawawi di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (balad al-mal) berbeza dengan tempat zakat fitrah wajib ke atasnya.
Dalam Mazhab Syafie, zakat fitrah wajib ke atas seseorang bila bermulanya malam raya. Waktu 'wajib zakat fitrah' ini berakhir sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
Justeru-dalam erti kata lain-kenyataan Imam Nawawi r.a di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (tempat di mana hartanya berada), berbeza dengan tempatnya menyambut Hari Raya Aidil Fitri.
Dalam keadaan ini, yang diambil kira ketika mengeluarkan zakat fitrah-menurut pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie-ialah tempat di mana seseorang itu berada pada waktu zakat fitrah wajib ke atasnya.
Justeru, seseorang yang bekerja di Kuala Lumpur, tetapi menyambut Hari Raya di Perak sebagai contoh, zakat fitrah hendaklah dibayar di Perak.
Inilah pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie, dan ditashihkan ramai ulama besar Mazhab Syafie seperti yang dinyatakan Imam Nawawi di atas.
Senada dengan pendapat yang paling sahih ini, ialah pendapat ulama besar Mazhab Hambali, Ibn Qudamah dalam kitabnya, al-Mughni. Beliau mencatatkan :
فأما زكاة الفطر فإنه يفرّقها في البلد الذي وجبتْ عليه فيه سواء كان ماله فيه أو لم يكن؛ لأنه سبب وجوب الزكاة ففرّقتْ في البلد الذي سببها فيه
Terjemahan : Adapun zakat fitrah, ia diagihkan (dibayar) di negeri yang wajib ke atasnya [zakat fitrah], samada hartanya (sumber pendapatannya) [berada] di situ (di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) atau tidak. Ini kerana ia (keberadaannya di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) adalah sebab zakat fitrah wajib [ke atasnya], maka dibayar [zakat fitrah] di negeri yang [terdapat] sebab [wajibnya zakat fitrah ke atas] nya.
Sebenarnya, ulama-ulama empat mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali) bersepakat dalam soal ini. Iaitu, zakat fitrah dikeluarkan di tempat di mana seseorang mukallaf itu berada pada malam atau Hari Raya pertama. Bukannya ditempat di mana seseorang itu bekerja, atau mencari rezeki.
Majlis Fatwa Palestin menukilkan :
أما زكاة الفطرة فلقد اتفق العلماء على أنها تخرج في مكان تواجد الشخص لا مكان تواجد ماله لأنها تتعلق بالبدن فكان أداؤها مكان تواجد البدن
Terjemahan : Adapun zakat fitrah, para ulama telah bersepakat bahawa ia dikeluarkan (dibayar) di tempat seseorang itu berada, bukannya di tempat hartanya (sumber pendapatannya) berada. Ini kerana, ia (zakat fitrah) berkait dengan 'badan' (diri seseorang mukallaf-zakat badan) maka pembayarannya [dibuat] di tempat [di mana] 'badan' itu berada.
Sebab mengapa zakat fitrah dibayar di tempat di mana seseorang itu berhari raya, turut dinyatakan oleh Syaikh al-Qaradhawi. Beliau menyatakan :
فيخرج المسلم زكاة فطره في البلد الذي يدركه فيه أول ليلة من شوال (ليلة العيد) ؛ لأن هذه الزكاة ليس سببها الصيام وإنما سببها الفطر ولهذا أضيفت إليه وسميت زكاة الفطر
Terjemahan : Maka [setiap] muslim [perlu] membayar zakat fitrah di negeri yang dia menemui malam pertama [bulan] Syawal (malam raya). Ini kerana, sebab zakat [fitrah] ini [menjadi wajib], bukannya puasa. Sebab [ia menjadi wajib] ialah [munculnya Hari Raya] Aidil Fitri. Dengan sebab itu, disandarkan [zakat ini] kepadanya (Hari Raya Aidil Fitri) dan dinamakan 'zakat al-fitr' (zakat Hari Raya Aidil Fitri).
7. Apakah seseorang itu mesti membayar mengikut ketetapan dari pihak berkuasa atau ikut beras yang dimakan ahli keluarganya, atau lebih tinggi nilainya?
Asal kewajipan zakat fitrah sebagaimana yang dinukilkan dalam perbahasan fiqh adalah ghalib qut al-balad iaitu makan ruji masyarakat setempat.
Di Malaysia ia dinilaikan dengan beras yang beratnya 2.7 kg menyamai segantang beras yang diwajibkan untuk fitrah.
Jika sesebuah keluarga atau individu itu ingin membayar mengikut harga beras yang dimakannya samada sama atau lebih tinggi dari nilai atau kadar yang ditetapkan pemerintah, maka dalam hal ini Dr Yusuf al-Qaradhawi berpandangan ia adalah dari kerelaan hati dan dianggap sebagai bentuk ketaatan (tatawwu') tambahan yang terpuji sebagaimana dalam Firman Allah Ta'ala dalam surah al-Baqarah ayat 184 :
فَمَن تَطَوَّعَ خَيْراً فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ
"Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya..."
Wallahu A'alam.
-- Nota ini disediakan oleh Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman pada Ramadhan 1436H / 2015 melalui status Facebook beliau.