Satu perkembangan yang baik.
Bermula 1 Januari 2018, ahli dapat melantik Amanah Raya Berhad sebagai pentadbir atau pentadbir untuk akaun KWSP. Perlantikan ini tidak wajib tetapi sebagai pilihan tambahan kepada ahli untuk menentukan bagaimana KWSP mereka dapat diuruskan selepas kematian mereka.
ARB sebagai executor / administrator ini adalah salah satu dari empat perkara penambahbaikan skim dan polisi KWSP. Berita lanjut adalah seperti berikut:
KUALA LUMPUR, 14 Disember 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan empat penambahbaikan ke atas skim dan polisi KWSP yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2018 sebagai antara usaha berterusan KWSP untuk menambahbaik dan memenuhi jangkaan ahli.
Semasa mengumumkan inisiatif penambahbaikan dalam taklimat media hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “KWSP menjangkakan majoriti ahli akan berhadapan dengan cabaran dalam persediaan persaraan mereka berikutan perubahan demografi yang mendadak di Malaysia dan di serata dunia, selain kemunculan revolusi perindustrian. Oleh itu, inisiatif penambahbaikan ini adalah usaha kami untuk memenuhi perubahan dalam keperluan dan jangkaan ahli.”
Penambahbaikan yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2018 adalah:
1. Pilihan untuk melantik Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai penama/pentadbir atau pemegang amanah
Ahli diberi pilihan untuk melantik Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai penama/pentadbir atau pemegang amanah kepada simpanan KWSP mereka bagi memudahkan pengagihan simpanan kepada waris terdekat apabila ahli meninggal dunia. Ini boleh memberi manfaat terutamanya kepada ahli yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun. Pilihan ini adalah tambahan kepada hak sedia ada ahli untuk melantik mana-mana individu sebagai penama.
2. Penambahbaikan ke atas pilihan pembayaran Pengeluaran Umur 55 dan 60 Tahun
Polisi Pengeluaran umur 55 dan 60 tahun telah ditambah baik dan dipermudahkan bagi membolehkan ahli membuat pengeluaran sebahagian untuk sebarang jumlah pada bila-bila masa dari akaun KWSP mereka, berbanding polisi semasa yang hanya membenarkan pengeluaran tidak kurang daripada RM2,000 setiap 30 hari. Selain itu, ahli juga boleh membuat pengeluaran serendah RM100 sebulan, berbanding RM250 dalam polisi terdahulu.
Bagi membantu ahli merancang keperluan persaraan jangka panjang dan membuat anggaran jumlah dan kekerapan pengeluaran yang baik, KWSP menggalakkan ahli untuk menggunakan Khidmat Nasihat Persaraan yang disediakan secara percuma kepada ahli di 18 cawangan seluruh negara.
3. Polisi pengeluaran fleksibel sehingga umur 100 tahun
Polisi pengeluaran fleksibel, yang membolehkan ahli membuat pengeluaran sebahagian untuk sebarang jumlah pada bila-bila masa, telah dilanjutkan kepada umur 100 tahun daripada had umur semasa 75 tahun. Ahli juga boleh memilih untuk membuat gabungan pengeluaran sebahagian dan bulanan. Penambahbaikan ini adalah selaras dengan pelanjutan tempoh pembayaran dividen daripada umur 75 tahun ke 100 tahun.
4. Melanjutkan Bantuan Kematian dari umur 55 tahun ke 60
Bantuan kematian semasa sebanyak RM2,500 yang boleh dituntut oleh waris terdekat sekiranya ahli meninggal dunia sebelum umur 55 tahun, kini akan dilanjutkan kepada umur 60 tahun. Penambahbaikan ini adalah selaras dengan umur persaraan minimum pada 60 tahun.
Untuk maklumat lanjut mengenai penambahbaikan skim dan polisi KWSP bermula 1 Januari 2018, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000.