1. Tiada Matlamat Akhir Hidup Yang Jelas
Kita dididik sejak kecil dengan fahaman bahawa perlu belajar rajin-rajin, dapatkan pekerjaan yang bagus & terjamin, beli rumah & kereta, besarkan anak-anak, kahwinkan mereka, pencen dan tunggu hingga habis usia.
Sedangkan sebagai seorang Muslim, kita ada 2 perkara dalam Rukun Islam yang perlu dipenuhi, yakni menunaikan zakat & haji. Untuk memenuhi 2 tuntutan ini, elemen harta menjadi penyebab kepada ianya dapat direliasasikan.
Siapakah orang yang layak tunaikan zakat & mampu tunaikan haji?
Orang yang berharta.
Jika 2 perkara ini diletakkan sebagai matlamat yang jelas, nescaya kita akan mengambil tindakan bersungguh-sungguh untuk memenuhinya. Kita akan mula fokus membina harta dengan asbab tersebut.
Bina harta samada lebihkan simpanan daripada biasa ataupun mula mengambil risiko yang boleh diterima dengan mula melaburkan sebahagian modal.
2. Gaji Habis Bayar Orang Lain Dahulu
Cuba semak perbelanjaan kita setiap bulan. Ramai yang menghabiskan lebih separuh daripada pendapatannya untuk membayar hutang. Bayar kepada orang lain terlebih dahulu dengan penuh komitmen dan dedikasi.
Apakah kita tidak perlu kepada hutang?
Ya, kita perlu dalam satu-satu situasi.
Tetapi adakah kita mengukur kadar kemampuan kita atau hanya mengambil sikap rasa-rasa sahaja?
Sikap rasa-rasa inilah yang menyebabkan kita berhutang lebih daripada kemampuan. Selalunya emosi mengatasi pertimbangan wajar yang diberikan oleh akal tika itu.
Maka, kita paksakan diri juga di luar kemampuan sedia ada. Jika sudah banyak yang dihabiskan untuk membayar pada orang lain, apa lagi yang tinggal pada diri kita?
3. Bayar Diri Sendiri Bila Perlu Sahaja
Bila sudah lebih separuh daripada pendapatan digunakan untuk bayar orang lain, bakinya pula digunakan untuk kelangsungan hidup, maka tinggal serdak sahajalah yang disimpan untuk diri sendiri.
Bayar diri sendiri dengan serdak-serdak sahaja.
Rule of Thumb nasihat kewangan yang biasa kita baca ialah, simpan 10% daripada pendapatan.
Kita pegang dan beramal dengan nasihat tersebut. Walaupun setiap tahun gaji kita bertambah, peratus simpanan kita masih lagi di takuk lama. Yang bertambah ialah jumlah bayaran kepada orang lain (hutang).
Di awal-awal kita mula bekerja, tiada lagi komitmen mahupun tanggungan. Sepatutnya peratus simpanan kita lebih besar. Mulakan dengan 50% simpanan dahulu.
Kalau rasa 50% terlalu besar sehingga tidak cukup makan-minum, ada tempat tinggal mahupun pakaian, sesuaikan peratusannya. Mungkin 30% ataupun 20%.
Bayar diri anda dengan peratusan yang lebih besar dahulu dalam bentuk simpanan mahupun harta. Bila anda sudah berkeluarga, percayalah peratusan anda menyimpan semakin lama semakin mengecil.
Bagaimana nak baiki situasi kita yang lambat buat harta ini?
Prioriti. Fikir dan susun kembali keutamaan hidup kita.
Mulakan dengan keutamaan menjadi orang berharta supaya dapat penuhi 2 tuntutan Rukun Islam tersebut. Dah capai, beralih kepada matlamat yang lain pula.
Kemudian, bayar diri sendiri (simpanan, buat harta) dengan lebih banyak peratusannya.
Serdak-serdak yang ada, bolehlah dipertimbangkan untuk bayar kepada orang lain, jika perlu (hutang).
Jika tidak tahu nak bermula dari mana, dapatkan maklumat dari penunjuk arah di: http://www.rancangwang.com/servis-kewangan/